Kepimpinan tertinggi BN akan bantu atasi krisis MIC – Muhyiddin

0

Kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) akan bantu dalam mengatasi kemelut MIC bagi mengukuhkan semula parti berkenaan, kata Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sudah berbincang dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak semalam untuk melakukan sesuatu bagi menyelesaikan krisis yang melanda parti komponen BN itu.

Krisis yang melanda MIC jika dibiarkan, bukan sahaja menjejaskan parti itu tetapi juga BN, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Menara Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu di sini, hari ini.

“Dengan keadaan yang sudah tercetus ini, kami (BN) perlu campur tangan. Saya fikir kami lihat kalau dibiarkan begitu, nampak tidak ada penyelesaian.

“Jadi pimpinan BN, Perdana Menteri dan saya sendiri, kami akan campur tangan untuk kebaikan parti itu dan BN,” katanya.

Muhyiddin berkata:” Paling utama ialah kepimpinan dalam parti … jadi saya lihat sekarang ini, presiden parti (Datuk Seri G Palanivel) sudah tidak berapa orang kata terfokus.

“Saya bukan nak mengkritik tentang masalah ini sehingga tercetus pelbagai perkara yang seolah-olah luar kawalan, ini pastinya tidak baik,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin tertinggi MIC akan dipanggil dalam tempoh segera untuk berbincang dan mengambil tindakan sewajarnya bersandarkan peraturan dan perlembagaan parti itu.

“Sebagai contoh kalau ada suara mengatakan perlu ada pemilihan semula dan lain-lain lagi, kita nak lihat apakah yang ditetapkan dalam peraturan dan perlembagaan parti itu kerana kita tidak boleh bertindak di luar perlembagaan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau juga berharap supaya semua pihak bertenang atas semangat setiakawan serta tidak melakukan perkara seperti ugutan yang langsung tidak menggambarkan imej parti yang baik.

Muhyiddin berkata, apa yang penting pada masa ini adalah mengekalkan sokongan rakyat pada BN terutama masyarakat India untuk terus menyokong MIC.

Krisis dalaman MIC tercetus selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pemilihan bagi jawatan tiga naib presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam Perhimpunan Agung MIC di Melaka, pada November 2013.

Dalam surat bertarikh 5 Disember lalu, ROS mengarahkan MIC mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari berikutan dakwaan wujud ketidakaturan serta berlaku pelanggaran perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan.

Share.

About Author

Leave A Reply

© Selangor Daily dot Com. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS. Powered by WordPress. SelangorDaily theme by TheJay
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE