Krisis MIC: Kepemimpinan tertinggi BN setuju pemilihan semula – Najib

0

Kepemimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) bersetuju supaya pemilihan semula semua jawatan dalam parti MIC diadakan sebagai jalan penyelesaian kepada krisis yang dihadapi parti itu.

Persetujuan itu dicapai selepas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak bertemu dengan Presiden parti, Datuk Seri G Palanivel serta Timbalannya, Datuk Seri S Subramaniam hari ini bagi membincangkan kemelut dalaman parti yang mewakili kaum India itu.

“Selaku Pengerusi Barisan Nasional, saya telah bertemu dengan Presiden MIC dan Timbalan Presiden hari ini untuk membincangkan masalah dalaman parti.

“Perbincangan telah mencapai persetujuan agar pemilihan semula parti diadakan sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi,” kata Najib dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Najib berkata, keputusan itu akan dimaklumkan oleh MIC kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya tindakan sewajarnya boleh diambil untuk melaksanakan pemilihan semula parti.

“Butir-butir pemilihan parti akan diumumkan selepas surat daripada ROS diterima oleh MIC,” katanya.

Turut hadir dalam pertemuan itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Share.

About Author

Leave A Reply

© Selangor Daily dot Com. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS. Powered by WordPress. SelangorDaily theme by TheJay
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE