DAN 2014 pendorong integrasi E&E, industri pembuatan kenderaan

0

Pelaksanaan Dasar Automotif Negara (DAN) 2014 yang bermula sejak Januari tahun lalu menjadi pendorong kepada integrasi antara sektor elektrik dan elektronik (E&E) negara dengan industri pembuatan kenderaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Madani Sahari, berkata DAN 2014 memberi tumpuan untuk membangunkan Malaysia menjadi hab pembuatan kenderaan cekap tenaga (EEV) yang mempunyai potensi besar dalam memenuhi permintaan pasaran.

Katanya, menerusi Pelan Induk Teknologi Automotif (MATR) yang diperkenalkan bersama DAN 2014, ia memberi keutamaan penting bagi pembangunan E&E dalam industri automotif.

“Pembangunan infrastruktur pengecas menjadi salah satu agenda utama MATR. Ini kerana model hibrid plug-in dan kenderaan elektrik sepenuhnya memerlukan rangkaian bekalan elektrik. Jadi lebih banyak stesen mengecas dijangka akan diwujudkan,” katanya kepada BH di Kuala Lumpur, semalam.

Madani berkata, pembuatan bateri seterusnya antara langkah penting ke arah pembangunan infrastruktur kenderaan elektrik seperti yang dirancang di bawah MATR.

Katanya, MAI pada masa ini terbabit dalam membantu industri tempatan untuk membangunkan sektor pembuatan bateri Lithium-Ion (Li-Ion) di negara ini.

“Di bawah MATR, pelbagai bidang pembangunan teknologi untuk kenderaan elektronik dan elektronik pengguna dikenal pasti. Bagaimanapun, peningkatan teknologi, pereka kemahiran serta sokongan penyelidikan dan pembangunan (R&D) diperlukan untuk memacu produk akhir dan pengeluaran komponen yang tinggi untuk industri automotif masa depan,” katanya.

Beliau berkata, kereta moden ketika ini kebanyakan dijana dengan komponen eletronik merangkumi campuran udara-bahan api, sistem penyalaan, sistem transmisi, kawalan emisi dan sistem penggantungan selain bahagian enjin yang dikawal dan dipantau secara elektronik.

“Kecekapan kenderaan dicapai dengan komponen sensor prestasi optimum yang dipasang dalam semua sistem kenderaan, Jika sistem tidak beroperasi dengan baik dan kegagalan komponen, unit pusat kawalan akan menerima maklum balas atau komputer dalam kenderaan akan memberi maklum balas untuk tindakan pembetulan,” katanya.

Madani berkata, pada awalnya elektronik dibangunkan dan dipasang untuk mengawal fungsi enjin, sebelum beberapa kemajuan menyusul yang menerajui pembangunan dalam banyak unit kawalan elektronik (ECUs) bagi mengawal komponen dan sistem dalam kenderaan automotif.

Katanya, kenderaan model mungkin dipasang sehingga 100 ECUs bagi mencapai prestasi optimum terutama kenderaan EEV yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman (ICE).

“Elektronik automotif diklasifikasikan kepada dua iaitu elektronik kenderaan yang terbabit secara terus dalam mengawal dan memantau prestasi kenderaan, manakala elektronik pemandu merangkumi aplikasi pemandu seperti keselamatan aktif, bantuan pemanduan, keselesaan penumpang, infotaimen dan telematik,” katanya.

Sejak tiga dekad lalu, industri E&E menempa kejayaan di sektor pembuatan Malaysia. Ia menjadi pemacu utama kepada pembangunan ekonomi dan perindustrian.

Industri E&E Malaysia dipecahkan kepada empat sub-sektor iaitu komponen elektronik, elektronik pengguna, perindustrian dan elektrik.

Share.

About Author

Leave A Reply

© Selangor Daily dot Com. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS. Powered by WordPress. SelangorDaily theme by TheJay
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE