Parlimen: Mahkamah tetapkan Jumaat dengar permohonan Anwar

0

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan Jumaat untuk mendengar permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang menolak permohonannya untuk menghadiri mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 yang berakhir 9 April ini.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan kehadiran Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh yang mewakili Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara serta peguam Latheefa Koya yang mewakli Anwar.

Pada 18 Mac lepas, Anwar, 67, memfailkan permohonan itu dan menamakan Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara sebagai responden pertama dan kedua.

Menerusi afidavit sokongan, Anwar yang kini berada di Penjara Sungai Buloh mendakwa bahawa beliau masih seorang anggota Dewan Rakyat dan Ketua Pembangkang memandangkan petisyen pengampunan yang dipohon kepada Yang di-Pertuan Agong masih belum diputuskan.

Beliau mengemukakan permohonan pengampunan untuk pembebasan itu pada 24 Februari lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atasnya kerana kesalahan meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Anwar mendakwa keputusan kedua-dua responden yang tidak membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat tersebut adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Beliau memohon satu perintah bahawa keputusan Komisioner Jeneral Penjara bertarikh 4 Mac lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dibatalkan melalui satu perintah certiorari.

Turut dipohon ialah perintah berbentuk mandamus yang mewajibkan Komisioner Jeneral Penjara membenarkan Anwar menghadiri sidang Dewan Rakyat pada 9 Mac hingga 9 April dan satu deklarasi bahawa Anwar berhak menghadiri sidang tersebut.

Share.

About Author

Leave A Reply

© Selangor Daily dot Com. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS. Powered by WordPress. SelangorDaily theme by TheJay
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE