Syor persempadanan semula di Sarawak belum dapat ke Dewan Rakyat – SPR

0

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof

KUALA LUMPUR: Laporan akhir persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya negeri Sarawak tidak dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin depan, berikutan sesi pendengaran bantahan awam, belum selesai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata setakat ini masih terdapat 10 lagi bantahan yang belum melalui proses pendengaran.

“Syor persempadanan semula itu menerima 64 bantahan tetapi hasil semakan SPR mendapati hanya 41 yang memenuhi syarat bantahan.

“Selepas semua sesi pendengaran bantahan awam selesai, syor itu akan dipamerkan sekali lagi, jika tiada bantahan diterima, barulah laporan akhir boleh disiapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata laporan akhir itu akan diserahkan kepada perdana menteri dan terpulang kepada beliau untuk membentangkannya di Dewan Rakyat pada masa sesuai.

Antara kawasan Parlimen yang menerima bantahan sejak syor itu diwartakan dan dipamerkan selama sebulan mulai 5 Januari lepas ialah Kuching, Kapit, Sarikei, Bintulu, Miri dan Saratok.

Abdul Aziz berkata, SPR mempunyai tempoh dua tahun dari tarikh syor itu diwartakan untuk menyelesaikan perkara berkaitan persempadanan semula).

“SPR yakin 11 bahagian baharu yang diwujudkan dalam persempadanan semula itu dapat digunakan pada pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu akan datang,” katanya yang kini berada di Sarawak untuk menghadiri sesi pendengaran berkenaan.

Berikutan persempadanan semula itu, DUN Sarawak yang kini mempunyai 71 kerusi akan bertambah menjadi 82.

Sebelas bahagian baharu itu ialah N.13 Batu Kitang, N.17 Stakan, N.18 Serembu, N.23 Triboh, N.26 Gedong, N.40 Kabong, N.57 Telian, N.63 Selirik, N.66 Murum, N.70 Samalaju dan N.78 Long Lama.

Kajian semula persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003.

Share.

About Author

Leave A Reply

© Selangor Daily dot Com. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS. Powered by WordPress. SelangorDaily theme by TheJay
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE