Dana Bumiputera Al-Ansar RM200j sasar 11 sektor – PM

0

Datuk Seri Najib Razak berkata memperkasa Bumiputera yang menjadi sebahagian agenda nasional kerajaan perlu diterjemah dalam pelbagai bentuk tindakan dan program.

Perdana Menteri menjelaskan, ia bagi membolehkan keberhasilan terhadap matlamat utamanya iaitu mempertingkat dan merancakkan keupayaan ekonomi Bumiputera.

“Saya ingin menyatakan agenda memperkasa Bumiputera ini wajar diterjemah dalam bentuk tindakan dan program untuk membolehkan ia berjaya membentuk keberhasilan seperti yang dihasratkan,” katanya.

Kerajaan kini kata Najib sudah melaksana beberapa langkah bagi menyokong agenda itu antaranya pelaksanaan program pembangunan modal insan di Pusat Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UITM), bertujuan melahirkan akauntan Bumiputera selain melantik kontraktor Bumiputera dalam projek berskala besar seperti pembinaan Lebuhraya Pan Borneo dan Transit Aliran Ringan (MRT).

Najib berkata demikian dalam ucapan ringkasnya ketika melancarkan Dana Bumiputera Al-Ansar kelolaan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Bank Islam di bilik taklimat di bangunan Parlimen, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi TH, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim serta Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail.

Sebanyak RM200 juta disediakan menerusi Dana Bumiputera Al-Ansar yang menawarkan kemudahan pembiayaan kredit bernilai antara RM50,000 hingga RM1 juta.

Dana patuh syariah yang pertama kali dilaksana di Malaysia itu mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) dan akan disalurkan menerusi Bank Islam, sebagai ejen pengurus dananya.

Mengulas mengenai dana itu, Najib berkata, 11 sektor diberi keutamaan meliputi makanan halal; minyak dan gas; pendidikan; kesihatan; pertanian dan asas tani; pembinaan; pengangkutan; sokongan telekomunikasi dan utiliti serta pemborongan dan peruncitan.

Beliau turut berharap, langkah itu dapat melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan Bumiputera, selain memastikan usahawan sedia ada dipertingkat keupayaan dan sumbangan dalam membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Langkah oleh TH ini adalah amat baik sekali. Saya mahu sampaikan setinggi tahniah dan ia diyakini mampu memberi impak yang besar (kepada masyarakat Bumiputera).

“Saya harap GLC (syarikat berkaitan kerajaan) lain boleh ikut cara seperti ini. Diharap ia boleh beri manfaat besar kepada masyarakat khususnya Bumiputera,” katanya.

Share.

About Author

Leave A Reply

© Selangor Daily dot Com. All Rights Reserved. Sign up for entries RSS and for the comments RSS. Powered by WordPress. SelangorDaily theme by TheJay
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE